SMK SEMENCHU UNGGUL....1 VISI 1 MISI 1 TEKAD

Tuesday, November 15, 2011

Petua Perancangan kearah kejayaan

Amalkan petua-petua di bawah ini dan anda akan dapati yang perancangan ke arah kejayaan akan menjadi lebih bermakna.

1. Kenali diri sendiri

Anda mungkin kurang yakin dan rendah diri kerana tidak mengetahui siapakah diri anda yang sebenarnya dan apalah fungsi anda di dunia ini.

Cuba anda renungkan hakikat ini. Sembilan bulan sebelum anda dilahirkan, anda hanyalah satu di antara 200 juta sperma yang bersaing dalam satu perlumbaan. Setelah berenang dengan susah payah akhirnya anda menjadi juara dan diberi mandat untuk dihidupkan sebagai manusia. Hakikat ini menunjukkan yang kita berasal daripada juara, dan boleh kekal sebagai juara jika kita berusaha.

Perasaan putus asa dan rendah diri yang sering kita alami sebenarnya disebabkan oleh keadaan persekitaran semasa kecil, pengaruh keluarga dan juga pernah pengaruh orang di sekeliling kita, keadaan inilah yang menjadi faktor utama dalam mewujudkan sifat pergantungan kita kepada orang lain yang dibawa sehingga dewasa. Sebenarnya, sebagai seorang yang dewasa, kita bebas untuk memilih:

a. Terus membiarkan orang lain menentukan masa depan kita dan hidup dalam kekecewaan dan putus asa,

atau;

b. Mengubah sikap serta membentuk azam dan tekad baru untuk maju dan pada masa yang sama menghentikan pergantungan kepada orang lain.

2. Yakin kepada diri sendiri

Sebahagian daripada kita sebenarnya terdiri daripada golongan yang kecewa dan mudah putus asa dalam mengejar kejayaan. Sebahagian besar masa dihabiskan dengan meluahkan kekecewaan yang dialami dan setiap perkataan yang berkonotasi negatif seperti ``tidak ``jangan bosan dan ``malas.''

Jika anda tergolong dalam golongan ini, anda perlu mengubah diri anda dengan membuang perkataan-perkataan sebegini daripada hidup anda dan menggantikannya dengan perkataan yang lebih berkonotasi positif seperti ``ya ``boleh ``insya-Allah'' dan ``pasti.''

Pada masa yang sama, hafal dan fahamkan ungkapan berikut dan kemudian masukkan dalam minda anda:

Anda boleh jika anda fikir anda boleh,

Jika anda fikir anda telah dikalahkan, anda sememangnya telah kalah.

Jika anda fikir anda tidak berani, anda sememangnya pengecut.

Jika anda mahu berjaya, tetapi berasa tidak boleh berjaya, kemungkinan besar anda tidak akan berjaya.

Jika anda rasa anda akan kalah, anda sememangnya sudah kalah, kerana di dunia ini kita dapati kejayaan bermula daripada kemahuan seseorang. Semuanya terletak di dalam fikiran sendiri.

Kejayaan selalunya tidak dimenangi oleh mereka yang lebih kuat dan pantas. Tetapi lambat laun mereka yang berjaya adalah orang yang sentiasa berfikir dia boleh berjaya. - Insya-Allah

3. Perasaan takut

Musuh nombor satu anda ialah perasaan takut.

Pujangga ada mengatakan: ``Kebanyakan orang mengalami kegagalan disebabkan oleh perasaan takut mengalami kegagalan dan bukannya kegagalan itu sendiri.''

Sebaik sahaja anda takut kepada sesuatu, otak anda akan menjadi beku dan tidak berupaya untuk berfungsi secara kreatif serta gagal menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi.

Oleh itu, anda mestilah menghilangkan rasa takut yang ada dalam diri dengan segera.

Mulakan langkah anda dengan belajar bersungguh-sungguh. Jika anda berjaya, tahniah kepada anda yang telah berjaya melakukan sesuatu dalam hidup. tetapi jika anda gagal, janganlah berputus asa kerana anda masih hidup.

kegagalan itu hanyalah satu pengalaman dan bukannya keputusan muktamad untuk selama-lamanya.

Ingatlah bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan kecuali perasaan takut itu sendiri dan kita hendaklah sentiasa bertawakal kepada Allah. kegagalan itu hanyalah satu pengalaman dan bukannya keputusan muktamad untuk selama-lamanya.

4. Risau dan rasa bersalah

Perasaan risau dan rasa bersalah adalah dua jenis penyakit yang sering menyerang tanpa disedari. Mereka yang terkena penyakit ini akan sentiasa berasa risau dan bersalah mengenai apa sahaja termasuklah kerjaya, anak, isteri, keluarga, kewangan dan kesihatan.

Perasaan risau sebenarnya akan hanya menambahkan masalah.

Anda sepatutnya berasa gembira kerana apabila anda bermasalah, bermakna anda masih hidup. Sekarang, hentikanlah segala kerisauan anda dan anggaplah masalah sebagai satu cabaran dan cuba secara positif dan kreatif. Ingat! Kita tidak mempunyai masalah, yang ada hanyalah cabaran dalam mengharungi kehidupan.

5. Menanam sikap ingin berjaya

Sesetengah orang tidak mungkin akan berjaya kerana mereka tidak mempunyai keazaman untuk berjaya. Jadi, apakah keazaman yang dimaksudkan itu?

Pertama: Keinginan untuk menjayakan sesuatu yang bermanfaat mestilah sentiasa berada dalam fikiran anda.

Kedua: Anda mestilah menginginkan kejayaan.

Ketiga: Anda mesti percaya yang anda akan berjaya.

Keempat: segala tindakan tanpa berlengah.

Kelima: Timba ilmu pengetahuan.

6. Mempunyai visi dan cita-cita tinggi

Cara yang paling mudah untuk menetapkan visi ialah dengan membuat analisis diri. dengan cara ini, anda mengetahui tentang kelebihan dan kekurangan diri. Selepas itu, anda boleh menetapkan cita-cita dan berusaha mencapainya dengan mengambil kira kelebihan dan kekurangan diri.

7. Mengambil langkah pertama

Setiap perjalanan memerlukan langkah pertama. Begitu juga dengan kejayaan. Untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya, ada mesti memulakan langkah pertama iaitu menetapkan visi dan kemudian mempersiapkan diri untuk mencapai cita-cita berkenaan.

Persiapan itu melibatkan beberapa perkara termasuk melengkapkan diri dengan ilmu yang diperlukan dan menjadualkan rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk diri anda.

No comments:

Post a Comment