SMK SEMENCHU UNGGUL....1 VISI 1 MISI 1 TEKAD

Tuesday, August 6, 2013

DOA IBUBAPA UNTUK ANAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, Kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
 Ikhlaskan hati anak-anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata-mata kerana Mu ya Allah. Semata-mata kerana Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berdada di dalam kelas. Lapangkanlah dada dan terangkan hati mereka untuk menerima ilmu Mu ya  Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Tidak lama lagi, anak-anak kami akan menduduki peperiksaaan UPSR, PMR, SPM dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak-anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.

Ya Allah,Ya Tuhan Kami,
Peliharalah kesihatan anak-anak kami dihari peperiksaan nanti.Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan dengan tepat sepertiamana skema jawapan.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Lembutkanlah hati setiap pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak kami nanti.Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak-anak kami.Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan atau kesilapan yang anak kami lakukan.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak-anak kami.Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan solehah serta menghampirikan diri mereka kepada Mu.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak- anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik dan terpuji. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami seorang pemimpin dikalangan orang yang bertakwa

Ya Allah,
Apa yang kami doakan ini bukanlah untuk diri anak-anak kami sahaja,tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak-anak sahabatku ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat

Ya Allah,
Sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Ya, Allah
Jadikanlah anak kami anak yang soleh dan solehah ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak kami ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan- amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah. Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan- amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Ya Allah,
Kami tidak mampu untuk mengawasi anak- anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah naungan dan penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat- tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat- tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah,

Perkenankanlah doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa kami ini. Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim, Ya Rabbul Alamin.