SMK SEMENCHU UNGGUL....1 VISI 1 MISI 1 TEKAD

Saturday, December 17, 2011

memahami warna

Pasti semua orang mempunyai salah satu jenis
warna yang sangat disukai dari sekian banyak
warna yang ada atau yang biasa disebut dengan
warna kegemaran.. kita boleh lihat watak seseorang berdasarkan warna kesukaan

Warna Biru
Jika si dia menyukai warna biru, maka dirinya
termasuk dalam jenis ceria, selalu menyenangkan
dan selalu bertindak pasif dalam segala hal.
Mendambakan ketenangan dan ketenteraman. Dia
selalu mendapat kesulitan dalam pergaulan.
Demikian pula dalam bercinta karana dirinya bijak
dalam menyembunyikan perasaan.

Warna Hijau
Warna kesukaan si dia adalah hijau, maka dirinya
adalah seorang yang romantik, menyukai
keindahan, menyenangi alam dengan udara yang
sejuk. Dia juga seseorang yang selalu memegang
prinsip. Dalam hal bercinta dirinya mengidam-
idamkan calon teman hidup yang penuh toleransi
dan dapat dipercaya.

Warna Kuning
Kesukaan warna kuning ini menandakan bahawa
dirinya memiliki sifat optimis, jenis periang dan
senang bergaul, tidak memiliki penampilan yang
tetap. Sifat tolong-menolong selalu ada dalam diri,
kerana menolong merupakan suatu kewajiban
mutlak. Dia juga orang yang tidak pernah
meremehkan sesuatu keadaan.

Warna Ungu
Sekiranya warna Ungu (Violet) menjadi warna
kegemaran, maka si dia adalah jenis yang luar
biasa. Dalam menghadapi masa depan dia tidak
pernah ragu-ragu, apa yang dikerjakan dirinya
adalah yang terbaik. Kamu pandai benar dalam
mengikuti perkembangan zaman. Dalam bercinta,
hanya merekalah yang kuat mental yang boleh
mendekati dan menjadi kekasihnya.

Warna Putih
Jika si dia menyukai warna putih, penggemar putih
ini amat mementingkan kejujuran di dalam sesuatu
perhubungan dan sekiranya seseorang itu telah
menipu dirinya sekali maka selamanya dia tidak
akan mempercayai orang itu semula. Ramai yang
kagum dengan dirinya kerana sifat anggun, sifat
idealis dan moral yang tinggi. Tidak pernah
angkuh, bersikap penyayang yang tinggi dan akan
menolong sesiapa saja yang inginkan bantuan.

Warna Hitam
Dirinya termasuk jenis orang yang sangat lincah
dalam hal-hal tertentu saja. Kalau dia berada
dilingkungan yang tidak disukai, maka dia akan
menjadi murung. Kamu selalu tampil menarik, rapi,
cukup banyak lawan jenis berusaha mengejar dan
merebut cinta kamu.

Warna Merah
Dia termasuk jenis yang sangat berwibawa dan
juga senang menolong teman yang lemah. Walau
sering kali bergaul dan bercanda tapi dia boleh
menahan diri. Banyak orang mengatakan cinta,
tapi kamu selalu berfikir dan berfikir lagi. Dia
termasuk orang yang tidak mudah jatuh cinta.

sekadar renungan untuk bahan bacaan

Sunday, November 20, 2011

Motivasi: Kadang-kadang, kita terlupa berdoa.

Berdoalah, kamu tidak akan rasa sunyi dan keletihan ~

Pernahkah kita mendengar kisah Nabi Allah Zakaria AS? Sudah hampir berumur 80-an dan tidak pula dikurniakan anak? Menggunung harapan dia bina, agar mendapat anak yang mampu meneruskan kerja dakwahnya, tetapi tetap juga nikmat itu tidak dikurnia.

Tetapi akhirnya satu peristiwa menyedarkan Nabi Allah Zakaria itu.

Dan hasil kesedarannya, Allah memberikan dia anak yang indah bernama Yahya.

Berdoa.

Kadang-kadang, kita terlupa untuk berdoa.

Apa kaitannya Nabi Zakaria, dengan doa?

Sama-sama kita perhatikan.

Satu hari di mihrab Maryam

Maryam adalah anak saudara kepada Nabi Zakaria. Ibu kepada Maryam bernazar sekiranya dia mempunyai anak, maka dia akan meletakkan anaknya di Mihrab agar menjadi hamba abdi kepada Allah SWT semata-mata. Maka apabila Maryam lahir, dan Maryam adalah perempuan, maka Nabi Zakaria sebagai bapa saudara memegang amanah menjaga Maryam di mihrabnya.

“Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.” Surah Ali-Imraan ayat 37.

Maryam amat istimewa. Dan antara yang mengkagumkan adalah, walaupun dia tidak pernah keluar dari mihrabnya, akan terdapat buah-buahan tersedia buatnya yang datang entah dari mana. Lebih menakjubkan, buah-buahan musim panas muncul ketika dia menghadapi musim sejuk, dan buah-buahan musim sejuk muncul ketika dia menghadapi musim panas.

“Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya.” Surah Ali-Imraan ayat 37.

Satu hari di mihrab Maryam, Nabi Zakaria yang menyedari akan keajaiban itu bertanya:

“Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Surah Ali-Imraan ayat 37.

Dan Maryam pun menjawab:

“Maryam menjawab: Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” Surah Ali-Imran ayat 37.

Ketika inilah, mengikut apa yang saya belajar daripada guru-guru saya dalam bidang Aqidah dan Al-Quran, yakni Dr Ala’ Hilat, Dr Muhammad Jamal, Dr Samirah Tohir, mereka menyatakan bahawa Nabi Zakaria seakan seperti ‘ditegur’ oleh Allah SWT. Tersedar bahawa selama ini dia hanya mengharap, tetapi tidak berdoa dengan bersungguh-sungguh.

Berdoa dengan keyakinan bahawa, Allah SWT itu, walau perkara yang mustahil, mampu direalisasikan. Jelas Allah menunjukkan dengan kemunculan buah musim sejuk pada musim panas, buah musim panas pada musim sejuk.

Di saat itu jugalah, kalau kita lihat, Allah terus menceritakan pada ayat 38, yakni sejurus selepas ayat 37, menandakan cepatnya perkara itu berlaku, Nabi Zakaria berdoa. Di dalam mihrab Maryam itu jugalah, pada saat kesedarannya itu jugalah, Nabi Zakaria berdoa.

“Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” Surah Ali-Imraan ayat 38.

Dan Allah pantas memberikan jawapan kepada doa yang dilancarkan sepenuh jiwa, bersama kesedaran itu.

“Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh.” Surah Ali-Imraan ayat 39.

Kadang-kadang, kita terlupa berdoa.

Bukanlah maksud saya, kita lupa berdoa dalam erti kata mengangkat tangan dan meminta kepada Allah.

Tetapi maksud saya, kita terlupa berdoa dengan bersungguh-sungguh, memahami makna doa kita, tahu apa yang kita minta, dan yakin bahawa Allah mampu dan akan memakbulkannya.

Ya, kadang-kadang, kita terlupa berdoa.

Masa susah dan senang.

Kita kadangkala, kala susah, kita mudah mengadu kepada manusia. Kita mudah menceritakan semua masalah kita kepada mereka. Itu memang satu perkara yang positif, berbanding dipendam seorang diri begitu sahaja. Tetapi persoalannya, apakah kita telah mengadu kepada Allah dengan bersungguh-sungguh?

Pernahkah saat kita kesakitan, kita benar-benar berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sakit. Sembuhkanlah.”

Pernahkah saat kita sukar hendak mengajak seseorang kepada kebaikan, kita bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sayang dia, aku nak ajak dia pada kebaikan, tetapi dia asyik lari daripada aku ya Allah. Lembutkanlah hatinya, dan ampunkanlah dosa aku sekiranya dosa aku yang membuatkannya menjauh.”

Pernahkah saat kita kesempitan, kita benar-benar berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sempit. Lapangkanlah.”

Dengan penuh keyakinan bahawa Allah memang akan menyembuhkan kita, akan melembutkan hati dia, akan melapangkan kehidupan kita?

Tatkala senang pula, apakah pernah kita berdoa kepada Allah agar dikekalkan kesenangan kita? Pernahkah kita berdoa kepada Allah agar diluaskan lagi rezekiNya kepada kita? Apakah kita berdoa kepada Allah agar kita tidak tertipu dengan nikmat pemberianNya?

Kadang-kadang kita terlupa berdoa. Sebab itu kita rasa seperti ‘terputus’.

Doa, ibarat tali layang-layang

Keimanan adalah penghubung kita kepada Allah SWT. Manifestasi daripada keimanan adalah amal. Maka amalan adalah penghubung kita kepada Allah SWT. Kita buat, kita rasa keterikatan kita dengan Allah SWT. Kita solat, membaca Al-Quran, berzikir, tadabbur alam, melakukan kebaikan-kebaikan, semua itu mengikat jiwa kita dengan Allah SWT.

Dan doa, adalah kemuncak hubungan kita dengan Allah SWT sebenarnya.

Ya, kita hanya meminta dengan yang kita rapat.

Kita hanya mengadu dengan yang kita percaya.

Maka kalau kita rapat dengan Allah, memang Allahlah yang akan kita minta kepadaNya.

Maka kalau kita percaya dengan Allah, memang Allahlah yang kita mengadu kepadaNya.

Doa, mengikat kita lebih rapat dengan Allah SWT. Doa, adalah tanda kita amat yakin dan percaya, tanpa ragu-ragu, bahawa Allah amat rapat dengan kita.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Penutup: Maka Berdoalah.

Maka berdoalah. Susunlah doa kita. Fahami apa yang kita doakan. Yakini bahawa Allah akan memakbulkannya. Dan jangan sesekali lupa untuk berusaha dengan sesungguh-sungguhnya. Orang yang selalu berdoa akan tenang. Kerana dia akan melihat, satu persatu doanya dijawab oleh Allah SWT. Orang yang tidak berdoa, mendapat kejayaan pun, dia tidak akan rasa apa-apa ‘nilai tambah’. Dia rasa, dia dapat itu dengan usahanya sendiri. Sebab itu, apabila dia benar-benar ‘mati usaha’, dia akan putus asa dan tidak bangkit semula. Kita, bila ‘mati usaha’, kita tetap merasakan bahawa – Allah itu ada, dan Dia akan membantu kita. Kerana kita sering berdoa kepadaNya.

Hilal Asyraf adalah nama pena bagi Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Beliau merupakan salah seorang penulis novel dan seorang penulis di langitilahi.com. Kini masih menuntut di University of Yarmouk, Irbid, Jordan dalam jurusan Usuluddin.

Saturday, November 19, 2011

Guru Sebenar Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu



Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang profesional dengan guru yang tidak professional adalah seperti berikut;



Guru yang Profesional

Guru yang tidak Profesional

Mula kerja awal pagi

Mula kerja setelah loceng berbunyi

Sedia bergerak awal hari

Sudah pun letih di awal pagi

Mengurus dengan merancang

Mengurus dengan krisis

Ada perancangan & matlamat

Ada berbagai alasan

Berpakaian secara 'profesional'

Berpakaian selekeh

Guna waktu luang sebagai waktu'kerja'

Guna waktu luang mengumpat dan mengeji

Suka ikuti latihan kerana berikan perkembangan profesional

Komplen tentang latihan dan berasa pelik kenapa ianya perlu

Dalam mesyuarat mereka duduk di mana mereka boleh belajar

Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi

pintu

Cari perkara-perkara untuk dipuji

Cari perkara-perkara untuk dikomplen

Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan

Salahkan orang lain bila sesuatu tidak berjalan

Sedia buat keputusan dan selesai masalah

Bertanya "Apa patut saya buat?"

Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi

Lihat pentadbir sebagai tempatmelepaskan geram

Melanggan dan membaca jurnal profesional

Fikir jurnal professional sebagai membazirkan wang sahaja

Mendapat penghormatan setiap hari

Merungut kerana tidak dapat penghormatan

Buat yang terbaik

Buat apa orang lain buat

Kembang suburkan kerjaya mereka

Bimbang tentang kerja mereka

Rasa dan bertindak 'empowered'

Rasa dan bertindak seperti mangsa

Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan

Tidak sedia belajar atau terima bantuan

Belanja wang untuk perkembangan professional

Enggan belanja untuk

perkembangan

Percaya anak didik boleh belajar,

Percaya anak didik degil, dan malas.

Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu profesion paling mulia

Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja dengan gaji lumayan sahaja.

Wednesday, November 16, 2011

Urutan Refleksologi



Amalkan sendiri mencari point tertentu untuk membantu menjaga kesihatan diri supaya sentiasa cergas sepanjang masa walaupun kita dalam kesibukan... insyallah cuba amalkan

Tuesday, November 15, 2011

Petua Perancangan kearah kejayaan

Amalkan petua-petua di bawah ini dan anda akan dapati yang perancangan ke arah kejayaan akan menjadi lebih bermakna.

1. Kenali diri sendiri

Anda mungkin kurang yakin dan rendah diri kerana tidak mengetahui siapakah diri anda yang sebenarnya dan apalah fungsi anda di dunia ini.

Cuba anda renungkan hakikat ini. Sembilan bulan sebelum anda dilahirkan, anda hanyalah satu di antara 200 juta sperma yang bersaing dalam satu perlumbaan. Setelah berenang dengan susah payah akhirnya anda menjadi juara dan diberi mandat untuk dihidupkan sebagai manusia. Hakikat ini menunjukkan yang kita berasal daripada juara, dan boleh kekal sebagai juara jika kita berusaha.

Perasaan putus asa dan rendah diri yang sering kita alami sebenarnya disebabkan oleh keadaan persekitaran semasa kecil, pengaruh keluarga dan juga pernah pengaruh orang di sekeliling kita, keadaan inilah yang menjadi faktor utama dalam mewujudkan sifat pergantungan kita kepada orang lain yang dibawa sehingga dewasa. Sebenarnya, sebagai seorang yang dewasa, kita bebas untuk memilih:

a. Terus membiarkan orang lain menentukan masa depan kita dan hidup dalam kekecewaan dan putus asa,

atau;

b. Mengubah sikap serta membentuk azam dan tekad baru untuk maju dan pada masa yang sama menghentikan pergantungan kepada orang lain.

2. Yakin kepada diri sendiri

Sebahagian daripada kita sebenarnya terdiri daripada golongan yang kecewa dan mudah putus asa dalam mengejar kejayaan. Sebahagian besar masa dihabiskan dengan meluahkan kekecewaan yang dialami dan setiap perkataan yang berkonotasi negatif seperti ``tidak ``jangan bosan dan ``malas.''

Jika anda tergolong dalam golongan ini, anda perlu mengubah diri anda dengan membuang perkataan-perkataan sebegini daripada hidup anda dan menggantikannya dengan perkataan yang lebih berkonotasi positif seperti ``ya ``boleh ``insya-Allah'' dan ``pasti.''

Pada masa yang sama, hafal dan fahamkan ungkapan berikut dan kemudian masukkan dalam minda anda:

Anda boleh jika anda fikir anda boleh,

Jika anda fikir anda telah dikalahkan, anda sememangnya telah kalah.

Jika anda fikir anda tidak berani, anda sememangnya pengecut.

Jika anda mahu berjaya, tetapi berasa tidak boleh berjaya, kemungkinan besar anda tidak akan berjaya.

Jika anda rasa anda akan kalah, anda sememangnya sudah kalah, kerana di dunia ini kita dapati kejayaan bermula daripada kemahuan seseorang. Semuanya terletak di dalam fikiran sendiri.

Kejayaan selalunya tidak dimenangi oleh mereka yang lebih kuat dan pantas. Tetapi lambat laun mereka yang berjaya adalah orang yang sentiasa berfikir dia boleh berjaya. - Insya-Allah

3. Perasaan takut

Musuh nombor satu anda ialah perasaan takut.

Pujangga ada mengatakan: ``Kebanyakan orang mengalami kegagalan disebabkan oleh perasaan takut mengalami kegagalan dan bukannya kegagalan itu sendiri.''

Sebaik sahaja anda takut kepada sesuatu, otak anda akan menjadi beku dan tidak berupaya untuk berfungsi secara kreatif serta gagal menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi.

Oleh itu, anda mestilah menghilangkan rasa takut yang ada dalam diri dengan segera.

Mulakan langkah anda dengan belajar bersungguh-sungguh. Jika anda berjaya, tahniah kepada anda yang telah berjaya melakukan sesuatu dalam hidup. tetapi jika anda gagal, janganlah berputus asa kerana anda masih hidup.

kegagalan itu hanyalah satu pengalaman dan bukannya keputusan muktamad untuk selama-lamanya.

Ingatlah bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan kecuali perasaan takut itu sendiri dan kita hendaklah sentiasa bertawakal kepada Allah. kegagalan itu hanyalah satu pengalaman dan bukannya keputusan muktamad untuk selama-lamanya.

4. Risau dan rasa bersalah

Perasaan risau dan rasa bersalah adalah dua jenis penyakit yang sering menyerang tanpa disedari. Mereka yang terkena penyakit ini akan sentiasa berasa risau dan bersalah mengenai apa sahaja termasuklah kerjaya, anak, isteri, keluarga, kewangan dan kesihatan.

Perasaan risau sebenarnya akan hanya menambahkan masalah.

Anda sepatutnya berasa gembira kerana apabila anda bermasalah, bermakna anda masih hidup. Sekarang, hentikanlah segala kerisauan anda dan anggaplah masalah sebagai satu cabaran dan cuba secara positif dan kreatif. Ingat! Kita tidak mempunyai masalah, yang ada hanyalah cabaran dalam mengharungi kehidupan.

5. Menanam sikap ingin berjaya

Sesetengah orang tidak mungkin akan berjaya kerana mereka tidak mempunyai keazaman untuk berjaya. Jadi, apakah keazaman yang dimaksudkan itu?

Pertama: Keinginan untuk menjayakan sesuatu yang bermanfaat mestilah sentiasa berada dalam fikiran anda.

Kedua: Anda mestilah menginginkan kejayaan.

Ketiga: Anda mesti percaya yang anda akan berjaya.

Keempat: segala tindakan tanpa berlengah.

Kelima: Timba ilmu pengetahuan.

6. Mempunyai visi dan cita-cita tinggi

Cara yang paling mudah untuk menetapkan visi ialah dengan membuat analisis diri. dengan cara ini, anda mengetahui tentang kelebihan dan kekurangan diri. Selepas itu, anda boleh menetapkan cita-cita dan berusaha mencapainya dengan mengambil kira kelebihan dan kekurangan diri.

7. Mengambil langkah pertama

Setiap perjalanan memerlukan langkah pertama. Begitu juga dengan kejayaan. Untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya, ada mesti memulakan langkah pertama iaitu menetapkan visi dan kemudian mempersiapkan diri untuk mencapai cita-cita berkenaan.

Persiapan itu melibatkan beberapa perkara termasuk melengkapkan diri dengan ilmu yang diperlukan dan menjadualkan rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk diri anda.

Monday, July 4, 2011

10 Perkara Gagal menyiapkan kerja dengan baik ditempat kerja

Assalamualaikum w.b.t.

Kita mungkin pernah mengalami masalah tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh ketua dengan baik. Cuba semak kembali apakah faktor-faktor yang menjadi punca masalah itu, semoga dengan ini kita dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah itu.

1. Terlalu banyak gangguan
Berdasarkan kajian yang telah dibuat, antara gangguan yang sering berlaku di tempat kerja ialah mesyuarat yang tak dirancang, panggilan telefon, suasana bising dan sebagainya.

2. Tidak mempunyai sumber yang lengkap.
Seumpama tukang masak yang memerlukan sudip dan kelengkapan memasak yang lain, begitu jugalah dengan pekerja yang memerlukan maklumat dan kelengkapan kerja seperti komputer dan data-data yang diperlukan untuk menghasilkan kerja yang memuaskan dan tepat pada masanya.

3. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
Menurut Clayton Warholm, seorang pakar di dalam komunikasi di tempat kerja, terdapat dua punca pekerja tidak mahir dalam melakukan kerja mereka. Samada tugasan yang diberikan itu tidak dijelaskan secara terperinci oleh ketua ( tidak tahu apa hendak dibuat) ataupun pekerja itu tidak dilatih dengan baik ( anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya).

4. Mempunyai terlalu banyak tugasan
Sesetengah orang mempunyai terlalu banyak kerja yang tidak mungkin dapat disiapkan walaupun terpaksa bekerja 24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Perkara ini biasa berlaku dalam mana-mana organisasi yang mempunyai pekerja yang sedikit. Akibatnya, kekecewaan akan berlaku apabila anda tidak dapat menyiapkan tugas kerana tidak mungkin akan dapat melakukannya.

5. Tiada kemahiran menguruskan masa.
Pekerja yang mempunyai kemahiran ini melakukan apa yang paling penting tetapi sebaliknya pula bagi yang lemah pengurusan masanya melakukan apa yang dilihatnya senang dan menyeronokkan.

6. Suka bertangguh kerja.
Kenapa harus menunggu esok jika perkara itu boleh dilakukan hari ini? Anda mungkin menangguhkan sesuatu kerja itu kerana anda khuatir hasil kerja anda itu tidak memuaskan hati. Sebagai contoh, sekiranya anda takutkan kegagalan dan khuatir akan menghasilkan kerja yang kurang bagus, maka anda akan membuka peluang untuk anda mengelak daripada melakukan apa-apa. Walaupun anda sebolehnya inginkan kesempurnaan dalam setiap hasil tugas yang anda lakukan, tetapi bos ataupun client anda lebih melihat kepada kerja yang kurang sempurna daripada anda tidak melakukan langsung kerja tersebut.

7. Rasa tidak dihargai
Sekiranya anda merasakan diri anda tidak dihargai ataupun anda memperolehi gaji yang tidak setimpal dengan kerja yang anda lakukan, maka anda mungkin tidak dapat memberikan 100% komitmen dalam kerjaya yang anda ceburi. Secara sedar ataupun tidak kebanyakan pekerja cuba untuk menyeimbangkan antara ‘memberi dan diberi’ antara mereka dan majikan. Mereka akan melakukan kerja berdasarkan kepuasan hati mereka terhadap majikan. Pekerja yang merasakan mereka tidak dihargai akan menjadi kurang berusaha, kerap mengambil cuti, cuai dan sebagainya.

8. Keutamaan yang bertukar-tukar.
Anda sedang menyiapkan projek A, tetapi tiba-tiba majikan anda mengarahkan supaya anda meninggalkan seketika projek A tersebut dan memberikan tumpuan kepada projek B. Apabila perkara ini berlaku, anda akan berfikir bahawa anda tidak menyelesaikan tugas anda, tetapi majikan anda berfikir sebaliknya. Setengah orang adalah flexible dan senang untuk serasi dengan arahan yang baru dan teruja untuk melakukan tugas yang baru tetapi ada juga sesetengah orang yang akan merasa kecewa apabila tidak dapat menyiapkan sesuatu projek. Jika anda adalah orang yang kedua seperti disebutkan tadi dan bekerja di dalam industri yang sepanjang masa akan berlaku perubahan, maka anda perlu mempertimbangkan untuk menukar kerjaya anda.

9. ‘Burned out’
Merujuk kepada website American Psychological Association, burnout ialah keletihan emosi yang disebabkan oleh tekanan yang teruk di tempat kerja. Ia mungkin kerana suasana tempat kerja yang negatif seperti pekerjanya sering bermusuh antara satu sama lain, tertekan dengan deadline yang ketat, jangkaan dan harapan yang terlalu tinggi terhadap sesuatu perkara, kerisauan dan melakukan kerja yang tidak sepadan dengan kemampuan. Kesemua ini adalah antara sebab dan punca berlakunya tekanan jantung dan sakit-sakit yang lain.

10. Ganjaran bagi tugasan yang telah siapkan.
Anda mungkin seorang yang hebat kerana dapat menyiapkan tugas sebelum ataupun tepat pada masanya. Namun peliknya, kebanyakan organisasi menghadiahkan pekerja yang rajin dan bekerja keras itu dengan tambahan kerja yang lebih banyak menggantikan bonus atau faedah yang lain. Sekiranya perkara ini berlaku di dalam organisasi anda, tidak mustahil anda akan merasakan tidak termotivasi untuk bekerja dengan lebih keras.