SMK SEMENCHU UNGGUL....1 VISI 1 MISI 1 TEKAD

Friday, September 20, 2013

Panik Semasa Peperiksaan ?

5 Teknik Menghadapi Peperiksaan Ini Membantu Anda

kids takes exam
Fikiran anda buntu. Anda tenung kertas soalan yang diberikan, cuba untuk menjawab soalan dengan mengingati apa yang anda baru baca tadi.
Ya, anda sudah ingat. Anda terus menulisnya di dalam kertas jawapan yang diberikan. Berjela-jela ayat yang anda tulis sehingga anda meminta lagi kertas jawapan dari pengawas peperiksaan.
Ok. Soalan seterusnya. Alamak… macam mana nak jawab soalan ni? Masa menjawab ada lagi 5 minit. Rasanya pernah baca tapi kenapa tak ingat pula! Fikiran anda buntu sekali lagi.
Itu adalah sebahagian daripada pengalaman yang dihadapi oleh mereka yang pernah bersekolah, pernah belajar di kolej, pernah belajar di universiti dan pernah cuba untuk memohon sesuatu jawatan atau kenaikan pangkat.
Itulah peperiksaan. Ia cukup ditakuti dan digeruni walaupun rupanya tidak pernah dilihat oleh sesiapa. Kalau boleh, anda tidak mahu lagi mengambil peperiksaan kerana tahu perit maung menghadapinya. Daripada berjaga di tengah malam, tidur yang tidak cukup dan bertarung di dalam bilik peperiksaan, biarlah ianya dikenang sebagai memori silam.
Sebenarnya, cara menghadapi peperiksaan memerlukan pendekatan yang sesuai. Jika anda masih menggunakan kaedah lama seperti baca buku dan cuba menghafalnya berulang-ulang kali sebelum hari peperiksaan, anda tidak akan menemui kejayaan.
Terdapat beberapa strategi dan teknik menghadapi peperiksaan yang anda boleh guna – tidak kira untuk peperiksaan atau untuk belajar sesuatu benda baru supaya anda bersedia dan mengingati apa yang anda hafal dengan mudah.
1. Cari tempat yang sunyi dan tenang.
belajar malam
Pilih satu bilik atau tempat di mana anda tidak diganggu oleh sesiapa. Jika bawa telefon bimbit, aktifkan ia di dalam mod senyap atau matikan sahaja. Ia adalah suasana yang terbaik untuk anda fokus mentelaah bahan yang dibaca dan menghafal. Biasanya waktu yang sesuai adalah selepas tengah malam sehingga waktu subuh.
Pada waktu ini, otak akan mudah menyimpan apa sahaja maklumat yang diberikan kerana. Gelombang otak berada di dalam keadaan alpha kerana waktu tengah malam adalah senyap dan cukup tenang. Anda jadi fokus dan mudah mengingati apa yang dibaca.

2. Pastikan anda faham apa yang anda hafal.
understand what you memorized
Adalah sesuatu yang sukar untuk menghafal jika anda tidak faham apa yang dihafalkan. Ini adalah di antara penyebab kenapa sesetengan orang jadi ‘blank’ ketika menjawab peperiksaan. Informasi yang anda masukkan di dalam otak tidak dapat dikaitkan dengan apa yang sudah ada di dalam otak.
Sebagai contoh, jika anda menghafal formula-formula kimia, anda tidak dapat mengingati kesemuanya kerana ia adalah sesuatu yang baru anda ketahui dan anda tidak boleh mengaitkannya dengan apa yang sudah ketahui sebelum ini.
Untuk menyelesaikan masalah ini, anda boleh menggunakan teknik sistem mnemonik. Teknik ini mampu menterjemahkan maklumat di dalam bentuk visual, kinestetik, atau bunyian ke dalam otak manusia berbanding maklumat di dalam bentuk abstrak atau mendatar. Ia boleh meningkatkan daya ingatan jangka panjang dan menjadikan proses mengingat kembali menjadi mudah.

3. Ulangkaji pelajaran baru serta merta berbanding menunggu waktu hampir peperiksaan.
panic
Kerap kali apabila anda belajar sesuatu yang baru dan kompleks, anda perlu segera mengulangkajinya. Ini kerana apa yang anda pelajari dalam masa beberapa jam akan mudah dilupai. Lebih cepat anda menyimpannya sebagai memori di dalam otak, lebih mudah ia diakses apabila anda mahu memanggilnya.
Amalkannya secara berterusan sehingga anda mempelajari topik baru. Namun perlu diingatkan ulangkaji perlu sentiasa konsisten. Jika anda tidak mengulangkaji, pastikan anda tidak membiarkan masa senggang di antara satu ulangkaji dengan ulangkaji lain terlalu lama. Ramai pelajar yang mangamalkan menunggu sehingga waktu peperiksaan untuk mengulangkaji kesemua topik untuk peperiksaan dan ianya suatu yang kurang efektif jika anda mahu menghadapi peperiksaan.
Kejayaan di dalam peperiksaan bergantung kepada setakat mana hafalan dan pemahaman anda dapat diakses di dalam suatu masa. Jika anda mengulangkaji kesemua apa yang pelajari dalam satu malam, anda akan ‘blank’ pada keesokkan hari kerana anda panik dan resah. Ulangkaji dari awal membolehkan memori ulangkaji anda boleh dipanggil semula dengan mudah.
 4. Teknik afirmasi dan visualisasi.
positive-affirmation-plan
Adalah sukar untuk menjadi seorang yang positif. Perkara-perkara negatif sudah mendominasi kehidupan kita sejak dari kita kecil lagi. Oleh itu, minda kita perlu ‘diprogram’ semula kepada positif dengan teknik afirmasi dan visualisasi.
Dengan teknik afirmasi dan visualisasi, anda memberikan pernyataan atau cadangan kepada minda anda untuk melakukan apa yang anda inginkan. Minda separa sedar ibarat span yang meresap apa sahaja yang diberikan padanya. Sekiranya awal-awal lagi anda mengatakan, “aku tidak dapat menjawab soalan ini”, “aku tidak pandai” atau ‘peperiksaan ini susah, hanya orang bijak sahaja boleh buat”, maka anda sememangnya tidak berjaya di dalam peperiksaan.
Apa yang anda perlu buat adalah cari tempat yang sunyi dan selesa. Anda boleh duduk atau berbaring di atas katil. Tarik nafas dalam-dalam selama 3 ke 5 minit. Apabila anda rasa cukup tenang, cakap pada diri anda “aku boleh menjawab peperiksaan esok dengan tenang, apa yang aku baca semuanya keluar dan aku memperolehi keputusan yang cemerlang”. Anda boleh mengatakan apa-apa sahaja yang positif dan baik. Anda boleh bayangkan diri anda sedang menjawab peperiksaan dengan mudah. Bayangkan sekali raut wajah anda yang ceria menjawab peperiksaan. Insya-Allah, jika anda melakukannnya secara konsisten beserta dengan usaha dan doa, anda akan berjaya.
 5. Jaga pemakanan dan hubungan dengan Allah Taala.
Dates-Fruit
Persediaan untuk menghadapi peperiksaan bukan sahaja dengan sebanyak mana ulangkaji dan hafalan, tetapi juga persediaan mental dan rohani. Mental yang kuat dan bertenaga datang dari makanan yang diambil, maka makanan untuk otakdiperlukan. Untuk memastikan otak anda sihat dan cerdas, pengambilan makanan dengan nutrien-nutrien yang seimbang seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam mineral adalah penting.
Aspek kerohanian juga perlu dijaga. Tidak guna hanya kerana ingin memperolehi tempat pertama di dalam kelas atau ingin mendapat CGPA 4.0 tetapi solat ditinggalkan, maksiat masih dilakukan dan perkara-perkara lagha masih dibiarkan.
Dosa boleh membuatkan kita lupa, melemahkan akal dan kesukaran memahami ilmu. Oleh itu, kita digalakkan untuk menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa dan bertaubat segera. Ia sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya ketika seorang hamba melakukan satu dosa, maka dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Ketika dia tinggalkan, memohon ampun, dan bertaubat, maka hatinya akan dibersihkan. Jika dia mengulangi lagi, maka akan ditambahkan titik hitam itu sampai menutupi hatinya”- Riwayat Tirmidzi.
Ulama-ulama silam yang mengajar ilmu-ilmu agama telah menganjurkan penuntut-penuntut ilmu dan hafiz al-Quran supaya mengambil makanan-makanan yang tertentu untuk meningkatkan daya ingatan. Selain itu, penuntut-penuntut juga perlu mengamalkan beberapa amalan ini untuk menguatkan ingatan seperti:
  • Mengamalkan doa-doa daripada al-Quran seperti dari Surah Taha ayat 25-28, Surah Al-Anbiya’ ayat 79, Surah Luqman dan Surah al-Isra’ ayat 70.
  • Memperbanyak zikir, tasbih, tahmid, takbir dan tahlil.
  • Mengambil makanan yang berzat seperti madu dan kismis.
Dengan mengambil makanan yang baik untuk otak, ia bukan sahaja baik untuk perkembangan intelektual, malah menyuburkan rohani dan peribadi yang mulia.
Kejayaan di dalam peperiksaan adalah suatu pengalaman yang manis. Namun, jika anda tidak berjaya atau tidak mencapai apa yang anda sasarkan, jangan bersedih dan tertekan. Cuba lagi dan jangan berputus asa. Sesungguhnya, hidup ini sendiri adalah peperiksaan. Kita sentiasa diuji setiap masa dan ketika. Di akhirat nanti, barulah kita tahu samada kita sudah berjaya atau gagal sebagai hamba Allah.
Adakah anda mempunyai teknik menghadapi peperiksaan anda sendiri? Kongsikan dengan kami di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment