SMK SEMENCHU UNGGUL....1 VISI 1 MISI 1 TEKAD

Monday, January 16, 2012

Cabaran seorang guru

DUNIA pendidikan sentiasa menjadi tumpuan semua pihak kerana ia tunjang utama dalam memperkasa pembangunan negara yang dijana melalui keberkesanan sistem pendidikan. Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan yang bertaraf dunia.

Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin ‘diasak’ dengan pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes perlanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, buli khususnya yang berlaku di asrama, biadab terhadap guru, vandalisme, peras ugut, bergaduh dalam kawasan sekolah dan terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu ini perlu ditangani secara berkesan oleh pihak sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi wabak yang membarah dalam kalangan anak-anak muda kita. Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan: “Guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai-nilai hidup yang dipegang dan budaya yang diterima olehnya.” Beliau berkata demikian dalam ucapan pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Ipoh pada 16 Mei 2000). Di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa memang menjadi tanggungjawab teras seseorang guru membentuk jati diri anak-anak muridnya dengan keluhuran budi pekerti yang tinggi dan terpuji.

Sebenarnya teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan memberi pendidikan mengenai akhlak murni. Jadi, dalam apa saja mata pelajaran yang diajar seseorang guru, penerapan nilai-nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan nilai merentas kurikulum.

Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di Malaysia selama ini. FPK antara lain menyatakan: ‘Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. ‘Usaha ini untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Jika diteliti secara mendalam intipati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha membina generasi warga negara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun bangsa dan negara.

Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman, yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan), ada menggariskan beberapa peranan yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak-anak didiknya dengan nilai-nilai akhlak mulia. Guru juga adalah seorang pendidik yang mendidik anak-anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Menurut beliau, guru adalah seorang pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan sebagaimana yang termaktub dalam FPK. Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri seorang pengusaha yang dinamik, maka guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan menunjuk contoh baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji. Ini penting kerana guru akan menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Menurut ahli psikologi pendidikan barat, Zuara, capik jalannya guru, maka tempanglah anak muridnya.

Dr Abdullah Sudin berkata, seseorang guru itu mesti menjadi seorang pengikut yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga. Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini ? Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa. Seseorang pejuang sudah tentu tidak boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa. Kata Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, ciri guru yang cemerlang ialah ikhlas mengajar ilmunya, memiliki tekad kuat untuk memberi manfaat yang terbaik untuk anak muridnya dan berusaha kuat menghantarkan mereka pada ketinggian darjat orang yang berilmu.

Manakala Al-Imam Al Ghazali ada mengatakan: ‘Guru perlu menanamkan niat bahawa mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya daripada kesengsaraan di akhirat kelak.’ Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Allah dan harapan negara dalam membina generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia dan bersahsiah ‘towering personality.’ Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan pakar motivasi barat, Beecher.
Kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.

Demikian juga guru harus menghayati kata-kata daripada seorang lagi pakar motivasi barat, Mann Horace yang berbunyi: “Seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbul dan menghidupkan keinginan dan semangat belajar di kalangan murid-muridnya sama seperti orang yang menempa besi yang dingin.” Selamat mendidik anak bangsa. Selamat Bertugas untuk merealisasikan "smk semenchu unggul" .

No comments:

Post a Comment

Post a Comment